Saturday, November 16, 2019

Penggunaan Myteach dalam Pengajaran dan Pembelajaran



Assalamualaikum dan salam sejahtera.....


    Dalam entry ini, saya ingin berkongsi tentang penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas iaitu myteach.Terdapat banyak kelebihan menggunakan kemudahan teknologi ini. 

            
Analisis selepas Pelaksanaan

    Penggunaan teknologi seperti myteach dapat membantu guru dalam pengajaran dan pembelajaran serta menjadikan suasana belajar lebih menarik terutamanya dalam pengajaran puisi moden. Hal ini dikatakan demikian kerana myteach ini mempamerkan imej dan visual yang menarik serta berwarna warni menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran tidak membosankan pelajar. Selain itu, terdapat juga kesan audio dan imej suara digunakan dalam myteach dapat mengelakkan murid mudah berasa jemu dan bosan menjalani proses pengajaran dan pembelajaran kerana mereka tertarik dengan gaya persembahan yang ditunjukkan melalui teknologi yang terdapat dalam myteachJadi, suasana kelas akan menjadi menarik dan pelajar-pelajar pula akan lebih aktif mengikuti aktiviti pembelajaran di dalam kelas.


    Kelas yang terlibat dalam penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran iaitu myteach ialah kelas tingkatan 4A Zhong yang terdiri daripada 55 orang pelajar. Pengajaran pada hari tersebut ialah berkenaan puisi moden tingkatan empat iaitu Sajak Gelanggang yang terdapat dalam buku Antologi Teks Komponen Sastera (KOMSAS) Jaket Kulit Kijang dari Istanbul. 




Sebelum saya menerangkan maksud setiap rangkap Sajak Gelanggang, saya telah menanyakan kepada pelajar tentang tiga sajak yang telah dipelajari dalam kelas iaitu Sajak Sang Gembala Kuda, Sajak Aku Membaca Lagi dan Sajak www.sibermerdeka.com.my. Hal ini adalah disebabkan oleh saya ingin menguji tahap pemahaman pelajar terhadap pengajaran sajak yang telah dipelajari sebelum ini. Bagi saya, penggunaan myteach ini dianggap sesuai dan berkesan dalam pengajaran sajak kerana sajak agak membosankan menyebabkan pelajar kurang memberi perhatian di dalam kelas. Jadi, penggunaan myteach dalam pengajaran puisi moden iaitu sajak dapat menarik pelajar untuk belajar. Penggunaan myteach ini adalah salah satu usaha untuk meningkatkan keberkesanan terhadap pengetahuan yang disampaikan oleh guru kepada pelajar.


Kelebihan Penggunaan myteach dalam Pengajaran Puisi Moden




Berdasarkan pengalaman saya menggunakan teknologi  dalam pengajaran dan pembelajaran iaitu myteach dalam pengajaran sajak, penggunaan myteach ini dapat menarik perhatian pelajar ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Hal ini disebabkan oleh terdapat kesan audio dan imej suara digunakan dalam myteach. Jadi, pelajar dapat mendengar kesan audio dan imej suara tersebut mendeklamasikan sajak apabila guru menggunakan myteach dalam pengajaran di dalam kelas. Dengan menggunakan myteach, pelajar dapat mendengar dan belajar untuk mendeklamasikan setiap baris sajak dengan nada dan intonasi yang betul. Justeru, proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas akan menjadi menarik dan tidak membosankan pelajar. Sekiranya saya tidak menggunakan myteach di dalam kelas, pelajar kurang memberi perhatian sewaktu pengajaran kerana kebanyakan pelajar tidak berminat untuk belajar sastera Bahasa Melayu kerana ia sangat membosankan mereka.




Setelah guru memainkan imej suara dalam myteach iaitu Sajak Gelanggang, saya telah memanggil lima orang pelajar ke hadapan kelas untuk mendeklamasikan setiap rangkap sajak. Jadi, pelajar dapat melatih diri mereka untuk mendeklamasikan sajak dengan nada dan intonasi yang betul. Dengan ini, pengajaran puisi moden iaitu sajak akan menjadi lebih menarik kerana pelajar aktif melibatkan diri di dalam kelas dan akan menjadikan suasana kelas lebih ceria.



  Seterusnya, apabila setiap pelajar selesai mendeklamasikan setiap rangkap sajak, saya telah meminta pelajar untuk menggariskan perkataan yang tidak difahami dan menulis maksud perkataan tersebut bagi setiap rangkap sajak supaya pelajar dapat memahami maksud sajak dengan baik. 





  Selain penggunaan kesan audio dan imej suara dalam myteach, maksud setiap rangkap sajak pula telah mempamerkan imej dan visual yang menarik serta berwarna warni menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik. Selain itu, penggunaan imej dan visual di dalam sajak juga dapat mengelakkan pelajar mudah berasa jemu dan bosan ketika menjalani proses pengajaran dan pembelajaran kerana mereka tertarik dengan gaya persembahan yang ditunjukkan melalui teknologi yang terdapat dalam myteach. Dengan gaya persembahan yang menarik dalam pengajaran sajak ini, saya dapat lihat tahap pemahaman pelajar untuk memahami maksud setiap rangkap sajak juga semakin meningkat dan juga semakin baik. Proses pengajaran dan pembelajaran pula akan menjadi lebih menyeronokkan dan tidak membosankan pelajar. Penggunaan teknologi dalam myteach untuk pengajaran sajak juga dapat menarik perhatian pelajar supaya mereka memberi tumpuan ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.





Video di atas adalah salah satu rakaman video penggunaan myteach yang saya gunakan di dalam kelas dalam pengajaran puisi moden iaitu Sajak Gelanggang. 

Kelemahan Penggunaan Myteach dalam Pengajaran Puisi Moden



    Terdapat juga kelemahan penggunaan myteach dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Antara kelemahannya ialah tulisan yang digunakan dalam myteach terlalu kecil. Hal ini disebabkan oleh setiap rangkap sajak mempunyai banyak baris. Maksud sajak juga agak panjang menyebabkan ruang untuk menulis terhad hingga menjadikan tulisan tersebut  kecil. Selain itu, warna tulisan yang digunakan oleh guru kurang sesuai menyebabkan pelajar tidak dapat melihat dengan jelas maksud sajak. Warna tulisan di myteach yang kurang jelas juga menyebabkan pelajar tidak dapat memberi tumpuan dengan baik ketika pengajaran di dalam kelas. Oleh itu, guru perlu memastikan tulisan dan warna tulisan yang akan digunakan pada myteach adalah bertulisan besar dan sesuai.


Cadangan dan penambahbaikan

    Bagi memastikan pengajaran guru di dalam kelas berjalan dengan lancar, guru perlu memastikan saiz dan warna tulisan yang akan digunakan dalam myteach sesuai untuk pengajaran di dalam kelas. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya ketika sesi pengajaran sekiranya tulisan yang digunakan oleh guru jelas.  Selain itu, guru perlu memastikan pelajar membaca dan memahami puisi moden sebelum sesi pengajaran berlangsung agar pelajar dapat memahami dengan baik puisi moden tersebut. 

  Kesimpulannya, penggunaan myteach banyak membantu guru dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Dengan adanya myteach, pengajaran juga menjadi lebih mudah dan dapat berjalan dengan lancar. Jadi, penggunaan myteach dalam kelas sangat sesuai digunakan dalam pengajaran puisi moden supaya pengajaran tersebut menjadi lebih menarik dan tidak membosankan pelajar.










Friday, November 15, 2019

Penggunaan Aplikasi Kahoot dalam Pengajaran dan Pembelajaran



Assalamualaikum dan salam sejahtera...


    Bertemu kita kembali di entry saya yang kedua. Selain menggunakan aplikasi Quizizz, saya juga telah menggunakan aplikasi Kahoot dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Aplikasi Kahoot ini sangat menarik untuk digunakan di dalam kelas kerana pelajar akan berminat untuk belajar sesuatu subjek tersebut. Hal ini disebabkan oleh pelajar perlu menggunakan telefon pintar dan Internet untuk menjawab soalan kuiz atas talian. Jadi, pelajar tidak akan berasa bosan untuk mempelajari sesuatu subjek di dalam kelas. 



   Terdapat sedikit perbezaan antara aplikasi Kahoot dan Quizizz. Aplikasi Kahoot merupakan suatu kaedah pembelajaran melalui permainan interaktif yang mengandungi unsur persaingan yang menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan. Selain itu, aplikasi Kahoot juga menjadikan kelas lebih ceria disebabkan oleh pelajar menjawab soalan kuiz atas talian di telefon pintar mereka berdasarkan soalan di skrin di hadapan kelas. Guru juga telah memberi tempoh masa selama 30 saat bagi setiap soalan. Jadi, pelajar perlu menjawab dengan cepat dan tepat bagi membolehkan mereka berada di kedudukan teratas.


Analisis selepas Pelaksanaan



Kelas yang terlibat dalam penggunaan aplikasi Kahoot ini ialah kelas tingkatan 4S Yi yang terdiri daripada 53 orang pelajar. Pengajaran pada hari tersebut ialah berkenaan sistem bahasa dalam Bahasa Malaysia. Pada awalnya, saya menerangkan tentang penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas kepada pelajar. Penggunaan teknologi dalam pembelajaran adalah salah satu kaedah yang terkini yang dapat menarik minat pelajar untuk belajar secara aktif. Antaranya ialah penggunaan aplikasi Kahoot dalam bentuk kuiz. Saya juga telah menerangkan cara untuk menjawab soalan kuiz kepada pelajar berdasarkan penggunaan aplikasi Kahoot ini. 



Untuk menyertai kuiz dalam talian ini, pelajar perlu 'log in' untuk bermain permainan kahoot. Kemudian mereka perlu memasukkan nombor kod akses yang tertera di skrin hadapan kelas yang telah diberikan oleh guru di telefon pintar masing-masing. Pelajar juga perlu menulis nama masing-masing tanpa perlu mendaftar dengan Kahoot.


Gambar di atas menunjukkan nombor kod akses yang perlu dimasukkan oleh pelajar untuk menyertai kuiz Kahoot dalam kelas maya. Setelah semua pelajar sudah bersedia, maka guru boleh tekan butang "start game".

  



   Terdapat 20 soalan sistem bahasa dalam Bahasa Malaysia telah dikemukakan oleh guru kepada pelajar. Soalan sistem bahasa ini mempunyai 4 pilihan jawapan bagi setiap soalan untuk menguji tahap pemahaman pelajar. Pelajar perlu membaca soalan di skrin hadapan kelas dan menjawab dengan memilih jawapan iaitu pilihan warna di telefon pintar mereka. Guru telah menggunakan aplikasi Kahoot ini untuk menguji tahap pemahaman pelajar berkenaan sistem bahasa dalam Bahasa Malaysia.



Kebaikan penggunaan Aplikasi Kahoot di dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)





Berdasarkan pemerhatian saya menggunakan aplikasi Kahoot di dalam kelas, proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menyeronokkan dan menarik. Hal ini disebabkan oleh terdapat bunyi muzik ketika soalan dipaparkan menjadikan permainan Kahoot sangat menarik perhatian pelajar.  Aplikasi Kahoot ini juga terdiri daripada pilihan jawapan yang berwarna yang perlu dipilih oleh pelajar pada skrin telefon pintar mereka. Kemudian terdapat tempoh masa yang diberikan oleh guru bagi setiap soalan menyebabkan mereka perlu menjawab dengan cepat.

   Sekiranya pelajar dapat menjawab dengan cepat dan betul, nama pelajar akan tertera di skrin hadapan kelas bagi setiap soalan. Jadi, pelajar akan menjadi bersemangat untuk menjawab soalan yang diberikan oleh guru dan ingin bersaing dengan rakan-rakan mereka yang lain untuk berada di kedudukan teratas. Hal ini menyebabkan suasana kelas menjadi sangat ceria dan pelajarnya pula menjadi aktif untuk menjawab soalan sistem bahasa. Ini menunjukkan aplikasi Kahoot sangat membantu saya untuk menarik minat pelajar untuk belajar  subjek Bahasa Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana tanpa menggunakan teknologi dalam pengajaran, saya sukar untuk menarik perhatian pelajar yang berbangsa Cina untuk belajar Bahasa Malaysia. Bagi mereka subjek Bahasa Malaysia sangat sukar dan membosankan.




Selain itu, apa yang menariknya lagi aplikasi Kahoot ini ialah terdapat soalan dan pilihan jawapan dipaparkan di skrin di hadapan kelas. Jadi, saya boleh menerangkan setiap soalan yang dikemukakan kepada pelajar. Ini menjadikan terdapat interaksi antara guru dan pelajar. 



    Pelajar hanya perlu memilih jawapan yang tepat mengikut pilihan warna yang tertera pada telefon pintar mereka. Oleh itu, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan menjadi lebih berkesan dengan menggunakan aplikasi Kahoot di dalam kelas.





Melalui aplikasi Kahoot ini, guru boleh menganalisis tahap pemahaman pelajar bagi setiap soalan dalam sistem bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana bilangan pelajar yang menjawab bagi setiap pilihan jawapan akan tersenarai di skrin di hadapan kelas. Jadi, guru boleh mengetahui tahap pemahaman pelajarnya terhadap sistem bahasa bagi setiap soalan dengan cepat berbanding kaedah kuiz yang lama memerlukan masa yang agak panjang untuk menyemak dan menganalisis tahap pemahaman pelajar. Penggunaan aplikasi Kahoot ini dapat melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Aplikasi Kahoot ini juga dapat membantu guru mengenal pasti tahap kesukaran bagi setiap soalan kerana guru boleh melihat bilangan pelajar yang dapat menjawab dengan tepat. Jadi, guru boleh mengukuhkan tahap pemahaman pelajar dengan memperbanyakkan lagi latihan untuk bahagian yang pelajar masih tidak dapat kuasai. 



Selain itu, setelah pelajar menjawab soalan kuiz Kahoot nama pelajar yang dapat menjawab dengan betul dan cepat pula akan dipaparkan di “scoreboard” di hadapan kelas. Hal ini menjadikan suasana kelas menjadi agak bising dan menyeronokkan kerana pelajar berasa sangat teruja dan gembira apabila melihat nama mereka tersenarai di skrin di hadapan kelas. Mereka juga menjadi lebih bersemangat untuk menjawab soalan yang berikutnya. Situasi ini dapat menimbulkan nilai positif dalam diri mereka untuk bersaing dengan rakan-rakan yang lain untuk berada di kedudukan teratas.
           




Setelah 20 soalan kuiz tamat, tiga nama pelajar yang mencatatkan jumlah markah tertinggi dan paling cepat menjawab semua soalan kuiz akan dipaparkan di skrin di hadapan kelas. Sekiranya terdapat dua orang pelajar yang mencatatkan markah yang sama, kepantasan menjawab soalan yang dapat membezakan kedudukan mereka. 




    Ketika senarai nama tiga orang pelajar dipaparkan di skrin di hadapan kelas, pelajar berasa sangat gembira kerana nama mereka tersenarai di kedudukan teratas dan kelas menjadi sangat ceria. Di sini saya boleh mengetahui jumlah markah tiga orang pelajar yang mencatatkan markah tertinggi yang dapat menguasai sistem bahasa dengan baik.





Video di atas adalah rakaman video penggunaan aplikasi Kahoot yang saya gunakan di dalam kelas semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.


Kelemahan aplikasi Kahoot dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP)

Penggunaan aplikasi Kahoot ini juga terdapat kelemahannya dalam pengajaran dan pembelajaran. Contohnya, guru tidak dapat mengetahui markah semua pelajar setelah soalan kuiz tamat. Guru hanya dapat mengetahui markah tiga orang pelajar yang mencatatkan markah tertinggi sahaja. Jadi, guru tidak dapat menganalisis dan sukar mengetahui tahap pemahaman setiap pelajar di dalam kelas tersebut. Selain itu, penggunaan aplikasi Kahoot yang menggunakan Internet menyebabkan beberapa orang pelajar tidak dapat menyertai kuiz Kahoot kerana kelajuan Internet di telefon pintar pelajar sangat perlahan.

Selain itu, penggunaan telefon pintar untuk menyertai permainan kuiz melalui aplikasi Kahoot juga menyebabkan tidak semua pelajar dapat menyertainya. Hal ini disebabkan oleh terdapat beberapa orang pelajar yang tidak memiliki telefon pintar. Oleh itu, penggunaan komputer lebih sesuai untuk menjalankan aktiviti kelas dengan menggunakan aplikasi Kahoot kerana kelajuan Internet di setiap komputer adalah sama. Jadi, semua pelajar dapat menyertai aktiviti kelas ini.


Cadangan atau penambahbaikan

Secara keseluruhannya, aplikasi Kahoot ini memang sangat sesuai digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini dikatakan demikian kerana kaedah ini dapat mewujudkan persaingan secara sihat antara pelajar untuk menjawab soalan untuk berada di kedudukan teratas. Jadi, melalui aplikasi Kahoot ini proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan kerana pelajar minat untuk belajar subjek Bahasa Malaysia di dalam kelas. Suasana kelas pula akan menjadi lebih ceria dan menyeronokkan. Oleh itu, untuk menggunakan aplikasi Kahoot dalam pengajaran dan pembelajaran pihak sekolah perlu berusaha untuk menambah bilangan bilik komputer untuk menjalankan aktiviti kelas seperti ini. Penggunaan aplikasi Kahoot juga dapat mendedahkan kepada pelajar penggunaan teknologi dalam pembelajaran.








Penggunaan Quizizz dalam Pengajaran dan Pembelajaran




Assalamualaikum dan salam sejahtera..


Bertemu kita di entry saya yang pertama ingin berkongsi dengan kalian tentang penggunaan teknologi dalam pendidikan. Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran banyak memberi kesan yang baik kepada pelajar. Selain itu, Penggunaan ICT juga dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan hasil pembelajaran. Hal ini dikatakan demikian kerana guru dapat membuat persiapan dan bersedia dengan lebih awal dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui cara ini guru dapat mencari maklumat-maklumat berkenaan dengan pengajaran dengan lebih baik seterusnya dapat menyampaikan kepada pelajar secara berkesan. Melalui penggunaan alat ICT sebagai alat bantu mengajar maka proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan berkesan. 


Salah satu aplikasi yang saya gunakan dalam pengajaran di dalam kelas ialah Quizizz. Quizizz adalah salah satu aplikasi yang dapat menarik perhatian pelajar ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat beberapa soalan berbentuk kuiz atas talian yang perlu menggunakan Internet. Aplikasi Quizizz ini akan  menjadikan pengajaran lebih menarik dan tidak membosankan pelajar berbanding kaedah lama kuiz yang hanya menggunakan kertas dan pen. Penggunaan aplikasi Quizizz pula berbeza iaitu memerlukan pelajar menggunakan telefon pintar dan juga Internet. Jadi, pelajar perlu menjawab soalan kuiz yang dipaparkan di skrin telefon pintar mereka. Quizizz juga adalah antara pilihan terbaik untuk penilaian semasa kuiz.


Analisis selepas Pelaksanaan


Kelas yang terlibat dalam penggunaan aplikasi Quizizz ialah kelas tingkatan 4A Zhong yang terdiri daripada 55 orang pelajar. Pengajaran pada hari tersebut ialah peribahasa dalam Bahasa Malaysia. Pada mulanya saya menerangkan tentang jenis peribahasa yang terdapat dalam Bahasa Malaysia kepada pelajar dengan menggunakan “Microsoft powerpoint”. Ketika saya menggunakan “Microsoft powerpoint”, suasana kelas dalam keadaan kondusif. 




Selepas penerangan berkenaan jenis peribahasa yang terdapat dalam Bahasa Malaysia, saya telah memberi latihan peribahasa dalam bentuk kuiz kepada pelajar untuk menguji tahap pemahaman mereka. Saya telah mengemukakan 20 soalan peribahasa dalam Bahasa Malaysia yang mempunyai 4 pilihan jawapan bagi setiap soalan. Saya telah menggunakan aplikasi Quizizz untuk menguji tahap pemahaman pelajar dalam peribahasa.



Sebelum Quizizz bermula, guru perlu memberikan nombor kod akses untuk pelajar memasukkan nombor kod bagi membolehkan mereka menyertai permainan Quizizz dalam kelas maya tersebut. Kemudian, pelajar perlu memasukkan nombor kod akses yang tertera di skrin hadapan kelas pada telefon pintar mereka dan juga menulis nama masing-masing tanpa perlu mendaftar dengan Quizizz. Apabila semua pelajar sudah menyempurnakan semua yang disebutkan tadi dan telah bersedia, maka guru boleh tekan butang “start game”.


Kebaikan Penggunaan Aplikasi Quizizz dalam Pengajaran dan Pembelajaran (Pdp)



Berdasarkan pengalaman saya menggunakan aplikasi Quizizz di dalam kelas, pelajar berasa sangat teruja dan bersemangat untuk menjawab soalan kuiz atas talian tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana aplikasi Quizizz mempunyai muzik ketika soalan dipaparkan dan juga tulisannya yang berwarna warni menjadikan ia lebih menarik dan menyeronokkan. Ketika permainan kuiz atas talian ini berlangsung, suasana kelas menjadi sangat ceria dan tidak membosankan apabila pelajar dapat menjawab dengan betul. 



   Pelajar masing-masing berlumba-lumba untuk bersaing dengan rakan-rakan yang lain untuk menduduki tempat yang teratas. Melalui aplikasi Quizizz, nama pelajar yang dapat menjawab dengan betul dan cepat akan dipamerkan di “leaderboard ” menjadikan pelajar berasa sangat gembira dan berusaha untuk mengekalkan kedudukan mereka. 




Gambar di atas adalah contoh soalan kuiz atas talian yang saya gunakan dalam pengajaran dengan menggunakan aplikasi Quizizz. Daripada pemerhatian saya, semua pelajar mengambil bahagian untuk menjawab soalan peribahasa atas talian ini. Permainan kuiz atas talian ini menjadi menarik dan tidak membosankan pelajar kerana pilihan jawapan bagi soalan peribahasa mempunyai pelbagai jenis warna. Hal ini juga menjadikan kelas lebih ceria kerana semua pelajar berasa teruja untuk menjawab soalan kuiz. 




    Setelah pelajar menjawab semua soalan kuiz, guru perlu menamatkan permainan Quizizz ini. Apabila Quizizz ditamatkan, senarai lima orang pelajar yang mencatatkan markah tertinggi dan menjawab soalan dengan cepat akan dipaparkan di “leaderboard ”. Ketika senarai nama lima orang pelajar dipaparkan di “leaderboard ”, guru telah mengumumkan nama pelajar-pelajar tersebut.  Pelajar berasa sangat gembira kerana nama mereka tersenarai di kedudukan teratas dan kelas menjadi sangat ceria.



Senarai markah untuk semua pelajar juga turut dipaparkan di “leaderboard ” selepas permainan Quizizz tamat. Dengan adanya markah semua pelajar di 'leaderboard', saya dapat melihat prestasi dan tahap pemahaman pelajar terhadap latihan peribahasa yang telah saya berikan. Oleh itu, aplikasi Quizizz ini memudahkan guru kerana guru tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menyemak latihan mereka berbanding kaedah kuiz yang lama mengambil masa yang panjang. Jadi, aplikasi Quizizz ini sangat sesuai digunakan oleh guru ketika proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas untuk menarik minat pelajar dan menjadikan pengajaran lebih menarik. Pelajar juga lebih memberi perhatian di dalam kelas dan pelajar tidak akan berasa bosan melalui aktiviti ini.




Di atas adalah rakaman video penggunaan salah satu teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan aplikasi Quizizz yang telah saya gunakan di dalam kelas.

Kelemahan aplikasi Quizizz dalam Pengajaran dan Pembelajaran (Pdp)

Aplikasi Quizizz  ini juga terdapat kelemahannya dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Contohnya, soalan peribahasa tidak dipaparkan di “leaderboard ” di hadapan kelas dan soalan hanya dipaparkan di skrin telefon pintar pelajar sahaja. Selain itu, soalan yang dipaparkan di skrin telefon pintar pelajar tidak sama bagi setiap pelajar. Jadi, guru tidak dapat menganalisis tahap pemahaman pelajar bagi setiap soalan peribahasa. Gambar di bawah ini menunjukkan pelajar sedang menjawab soalan kuiz atas talian di telefon pintar mereka. 



Selain dari segi aplikasi Quizizz, penggunaan telefon pintar di dalam kelas juga akan menyebabkan pelajar menyalahgunakan telefon mereka untuk melayari Internet dan perkara yang tidak berkaitan dengan aktiviti kelas pada hari tersebut. Pelajar juga perlu menggunakan Internet untuk menyertai kuiz atas talian dalam aplikasi Quizizz. 

    Daripada pemerhatian saya, terdapat beberapa orang pelajar yang tidak dapat menyertai Quizizz untuk menjawab soalan peribahasa semasa aktiviti dijalankan disebabkan telefon pintar mereka tidak mempunyai Internet dan kelajuan Internet di telefon pintar sangat perlahan. Oleh itu, penggunaan komputer lebih sesuai untuk menjalankan aktiviti kelas dengan menggunakan aplikasi Quizizz kerana kelajuan Internet di setiap komputer adalah sama. Jadi, semua pelajar dapat menyertai aktiviti kelas ini.



Cadangan atau penambahbaikan

Secara keseluruhannya, aplikasi Quizizz ini memang sangat sesuai digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini dikatakan demikian kerana  kaedah ini dapat membantu dan memudahkan guru semasa menjalankan aktiviti di dalam kelas. Selain itu, kaedah ini dapat menarik minat pelajar untuk belajar kerana kebanyakan pelajar kurang berminat dalam subjek Bahasa Malaysia. Seterusnya, suasana kelas akan menjadi lebih ceria kerana semua pelajar mengambil bahagian menyertai aktiviti ini. Oleh itu, pihak sekolah perlu berusaha untuk menambah bilangan bilik komputer untuk menjalankan aktiviti kelas seperti ini. Jelaslah, penggunaan aplikasi Quizizz dapat mendedahkan kepada pelajar tentang penggunaan teknologi dalam pembelajaran.